TERIK matahari yang memancar tengah hari itu langsung tidak melunturkan
semangat sekumpulan pakar penyelidik dan penuntut institusi pengajian tinggi
dari dalam dan luar negara untuk meredah laut Pulau Besar, Melaka bagi mencari
khazanah alam itu.
Masing-masing tekun meranduk dan sekali-sekala menyelam sambil tangan pantas
mencapai khazanah dasar laut itu.
Selepas berjam-jam meranduk, mereka kembali ke darat membawa hasil tangkapan
tetapi bukan ikan atau harta karun, sebaliknya rumpai laut.
Hakikatnya terdapat pelbagai rumpai laut yang beraneka warna dan bentuk
dibawa pulang oleh peserta Persidangan Taksonomi Rumpair Laut Asia Tenggara
anjuran Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), Universiti Malaya (UM) itu.
Rumpai laut itu kemudian dikenal pasti dan dijadikan sampel rujukan ilmiah
untuk mengkaji potensinya.
Rumpai laut termasuk dalam kumpulan alga. Alga terdiri daripada mikroalga
(fitoplankton) dan makroalga (rumpai laut).
Mikroalga boleh hidup di dalam air tawar dan masin, manakala rumpai laut
hidup di dalam air laut sahaja.
Terdapat kira-kira 380 spesies rumpai laut di perairan Malaysia. Habitatnya
ialah di pesisiran pantai, pantai berbatu, pantai berlumpur, bakau, terumbu
karang dan pantai berpasir.
"Malaysia kaya dengan rumpai laut kerana kedudukannya yang terletak dalam
lingkungan Lautan Pasifik dan Laut Merah.
"Ia merupakan salah satu kawasan
megadiversiti di dunia yang mempunyai biodiversiti marin yang tinggi termasuk
rumpai laut.
"Hampir 380 spesies rumpair laut yang terdiri daripada
chlorophyta
(rumpai laut hijau - 102 jenis),
rhodophyta (rumpai laut merah - 185
jenis),
phaeophyta (rumpai coklat - 72 jenis) dan
cyanophyta
(rumpai laut biru hijau - 32 jenis)," kata Pengarah IOES UM, Profesor Dr. Phang
Siew Moi.
Pelbagai spesies yang bernilai tinggi belum dikomersialkan. Di Malaysia,
hanya spesies
Kappaphycus dan
Eucheuma dikultur secara
besar-besaran.
Siew Moi memberitahu, banyak kajian dan penyelidikan dijalankan bagi
menentukan sebatian bioaktif daripada rumpai laut.
Setiap penemuan terbaru mengenai sebatian tersebut dikenal pasti dan
diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.
Kebanyakan sebatian bioaktif berfungsi sebagai antivirus dan antikanser,
manakala yang lain boleh dibangunkan menjadi ubat tetapi ia mengambil masa
bertahun-tahun lamanya sebelum dapat direalisasikan.
Dalam perubatan tradisional, kebanyakan rumpai laut digunakan oleh penduduk
di Asia.
Sebagai contoh, nelayan akan menggunakan serbuk
Halimeda untuk
dicampurkan dengan air sebelum diberikan kepada kanak-kanak bagi mencegah
cacing.
"
Carraguard merupakan satu
microbiocide yang dibuat daripada
karrageenan. Ia digunakan sebagai antiviral untuk melawan HIV dan berfungsi
sebagai kontraseptif di Afrika.
"
Halimeda discoidea,
Laurencia,
Bryopsis dan
Sargassum pula bertindak menghalang pertumbuhan sel leukemia, sel barah
payu dara dan HIV," ujarnya.
Rumpai laut juga katanya, boleh menjadi sumber bio bahan api. Selepas
diesktrak untuk mendapatkan agar, bahan buangan biomas boleh diperam atau
ditapaikan untuk menghasilkan metana, metanol atau etanol.
Ia juga boleh digunakan sebagai sumber tenaga alternatif bagi menampung
permintaan sektor pengangkutan negara.
RAMPAI laut berpotensi menjadi sumber tenaga alternatif.
Katanya lagi,
Gelidium amansii (rumpai merah) boleh diproses untuk
mendapatkan agar yang kemudiannya dijual untuk digunakan dalam industri makanan
atau ditapai bagi menghasilkan bioetanol.
"Selebihnya boleh digunakan untuk menghasilkan metana atau jika kualiti
fibernya tinggi, ia boleh digunakan untuk membuat kertas berkualiti tinggi.
"Penghasilan kertas daripada rumpai laut telah dilakukan oleh syarikat Korea
iaitu Pegasus International.
"Di Malaysia, kebanyakan karrageenan dihasilkan daripada
Kappaphycus
atau
Eucheuma yang dieksport atau digunakan untuk memproses makanan
haiwan dalam tin, jeli, penstabil makanan dalam minuman tenusu, aiskrim dan
banyak lagi," jelasnya.
Siew Moi memberitahu, rumpai yang boleh dimakan sebagai ulam atau salad ialah
Eucheuma,
Solieria dan
Caulerpa lentillifera. Ia banyak
dijual di pasar Semporna, Sabah.
"Spesies rumpai perang iaitu
Sargassum,
Padina,
Turbinaria pula digunakan dalam sup Cina yang berkhasiat untuk
menyejukkan tubuh, menyingkirkan toksin dalam badan dan sumber iodin untuk
mengelakkan penyakit goiter.
"Di sebalik pelbagai khasiatnya, rumpai laut turut menghadapi pelbagai
ancaman seperti pencemaran air laut, kesesakan trafik marin dan pemanasan global
yang boleh merencatkan pertumbuhan dan mengurangkan daya tahannya terhadap
penyakit," katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Bahagian Akuakultur Marin, Jabatan
Perikanan Malaysia, Adibi Rahiman Md. Nor memberitahu industri rumpai laut di
Malaysia kini tidaklah sehebat negara jiran, Indonesia dan Filipina yang lebih
dahulu terlibat dalam industri tersebut.
Katanya, dalam industri rumpai laut, ada dua cabang utama iaitu huluan dan
hiliran. Bagi industri huluan, pengkulturan rumpai laut di Malaysia hanya boleh
dilakukan di kawasan Semporna, Lahad Datu dan Kunak di Sabah.
"Mereka yang terlibat dalam dalam industri huluan ini terdiri daripada orang
kampung dan syarikat swasta. Hasil tuaian akan dikeringkan dan dijual untuk
tujuan semi proses.
RUMPAI laut boleh dibangunkan menjadi ubat-ubatan.
"Di Malaysia, hanya ada dua kilang yang memproses
semi refine
karrageenan (SRC) yang terbahagi kepada dua iaitu gred makanan dan gred
bukan makanan," ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua bahan tersebut kemudiannya dieksport ke Jepun, Amerika
Syarikat dan United Kingdom sebagai karageenan (RC) yang diproses.
Ia digunakan dalam industri pemprosesan daging, wain, bir, cuka, aiskrim,
yogurt, sos, ubat gigi, losen, syampu dan kertas.
Negara-negara yang mempunyai teknologi pemprosesan SRC akan menjual produk
akhir ke seluruh dunia termasuk Malaysia pada harga yang lebih tinggi.
"Industri rumpai laut di Malaysia sudah lama. Industri pengkulturan bermula
sejak tahun 1970-an lagi dan kini negara kita merupakan pengeluar ketiga
terbesar untuk sumber bahan mentah
Kappaphycus dan
Eucheuma
selepas Indonesia dan Filipina.
"Menyedari bahawa industri rumpai laut mempunyai potensi yang besar, kerajaan
telah membentuk Jawatankuasa Rumpair Laut Negara yang berperanan menilai
projek-projek rumpai laut yang dijalankan sama ada di peringkat huluan atau
hiliran melalui jawatankuasa teknikal," katanya.
Kini, Jabatan Perikanan sedang dalam usaha mengumpulkan pakar-pakar rujuk
dalam bidang rumpai laut untuk membangunkan industri yang berpotensi tinggi
ini.
Sehubungan itu, kerjasama antara pelbagai pihak seperti institusi pengajian
tinggi (IPT), saintis dan agensi kerajaan sangat penting demi memajukan industri
tersebut.
Buat masa ini, kawasan yang sesuai untuk menternak rumpai laut ialah Kunak,
Lahad Datu dan Semporna di Sabah yang berkeluasan 7,535 hektar dan melibatkan
943 penternak.
 |
RUMPAI laut yang mempunyai pelbagai warna dan bentuk.
|
"Bagi memastikan Malaysia mampu bergerak seiring dengan Indonesia dan
Filipina, Jabatan Perikanan akan pertingkatkan program memperkenalkan variasi
baru yang baik, cepat membesar dan dalam masa yang sama memperkenalkan sistem
pengkulturan rumpai laut yang baik kepada petani supaya pengeluaran dapat
ditingkatkan.
"Kita juga menggalakkan pelabur-pelabur swasta yang berminat untuk melabur
dalam industri pemprosesan. Kita akan membantu mereka untuk memulakan projek
tersebut," jelasnya.
Selain itu ada cadangan di bawah Jawatankuasa Rumpai Laut Negara untuk
menubuhkan sebuah pusat penyelidikan di Semporna bagi menyalurkan maklumat
kepada penternak atau pengusaha rumpai laut dan mewujudkan koperasi untuk
kebaikan mereka.